Sumber: Metro Online 25 Mac 2012.
Dakwah Adam
AGAK lama nama Adam AF sepi publisiti hinggalah penyanyi kelahiran Sabah itu diumumkan sebagai mentor dalam program realiti Mentor Musim keenam terbitan TV3.
Tatkala pertemuan empat mata dengan pemilik nama sebenar, Mohd Aizam Mat Saman di sidang media Mentor 6 lalu, penyanyi yang sering melantun irama ‘pop-dance’ ini tampak sangat berbeza. Dia bukan saja berisi, malah kelihatan cukup tenang.
Selepas diselami, dalam diam pemuda berusia 28 tahun ini mengikut jejak langkah aktor, Asyraf Muslim, bergelar pengamal perubatan alternatif di sebuah pusat rawatan Islam di pinggir ibu kota. Namun, melihat gaya serta genre lagu dibawa, tidak mustahil ada pihak mempertikai perubahan itu. “Saya berkecimpung di bidang perubatan ini lebih setahun lalu (sejak 2010) tapi tidak dihebahkan. Komitmen saya kini pada waktu siang mengubat orang, manakala malam pula mengajar protege saya, KJ atau nama sebenarnya, Abd Kadir Unding Lana,” katanya.
Akui Adam, untuk bergelar pengamal perubatan, terutama rawatan menggunakan ayat al-Quran, si pengamal bukan saja perlu bersih jiwa, malah wajib meninggalkan perkara mungkar.
“Selagi saya tak buat benda haram dan melakukannya kerana Allah, tidak akan ada masalah. Sebelum jadi pengamal perubatan pun saya tidak mendekati perkara haram.
“Kalau ada pun dulu, saya pernah cuba masuk kelab malam untuk menari tapi pada masa sama, saya tidak tahan bau rokok. Saya berada sekejap saja dan terus keluar kerana tidak tahan,” katanya.
Pun begitu, bukan mudah untuk memilih cara hidup berbeza secara drastik, banyak dugaan terpaksa ditempuh, bahkan sehingga hari ini dia masih berdepan pelbagai ujian.
“Saya perlu pastikan dalaman saya betul-betul bersih, namun luaran masih Adam yang orang kenal. Saya juga pernah lalui zaman nakal, oleh itu banyak perkara kena perbetulkan. Saya sudah lama dalam bidang nyanyian dan andai tiba-tiba berhenti, jiwa saya akan tertekan.
“Saya tidak pasti sampai bila akan berada dalam industri hiburan tetapi yang boleh saya katakan, buat masa ini masih aktif. Begitu juga Ashraf, dia masih ada dalam industri, cuma komitmen di pusat rawatan membataskan aktiviti seninya.
“Saya akan tetap menari kerana itu minat saya, tetapi ibadat wajib dilaksanakan. Ketika membuat persembahan, saya pastikan penonton lelaki dan wanita diasingkan,” katanya tenang.
Mengulas lanjut statusnya sebagai pengamal perubatan, Adam mendapat kepercayaan merawat pesakit yang menghidap pelbagai jenis penyakit.
Dalam nada merendah diri, dia akui bukan orang hebat, sebaliknya sekadar memberi jalan kepada pesakit untuk sembuh.
Jelasnya, ayat al-Quran bukan saja memberi ketenangan kepada pengamal, malah umum mengetahui rahsia segala penawar penyakit ada dalam kitab suci itu.
“Ini juga satu bentuk dakwah untuk kita kembali kepada agama. Hakikatnya, kaedah rawatan Islam menunjukkan jalan kepada pesakit untuk mendekatkan diri dengan Allah.
“Saya kini mengumpul material menghasilkan lagu dakwah bergenre pop dance. Saya tahu pasti ada yang akan kritik, tetapi saya tidak kisah kerana yang lebih penting, mesej dalam lagu itu sampai kepada pendengar,” katanya.
UPDATE:
Selasa, 27 Mac 2012, ada artikel mStar Online : Pelajari Perubatan Islam Tidak Jejas Kerjaya Seni Adam. Jom singgah baca.. :)
p/s:
Fatin tersenyum lebar dan sangat gembira ketika membaca artikel ini. Alhamdulillah..
Buat Adam dan KJ, buat yang terbaik untuk Mentor 6! Both of you can do it! :)
No comments:
Post a Comment